DISLEKSIA

Blog ini adalah tentang kecelaruan bahasa yang berfokuskan kepada disleksia. Apakah itu disleksia ? Oleh itu, blog Shaa akan menerangkan dan memaparkan tentang disleksia pada kali ini. Diharapkan dengan ilmu mengenai disleksia, para pembaca blog Shaa dapat mengetahui tentang masalah disleksia yang sering terjadi pada tumbesaran kanak-kanak. 

    Kelahiran kanak-kanak yang membesar dengan tumbesaran dan sifat sempurna pasti diinginkan oleh setiap ibu bapa. Namun, sesetengah kanak-kanak akan mengalami gangguan bahasa pada fasa perkembangan mereka untuk bertutur atas beberapa faktor antaranya faktor kecelaruan bahasa. Kanak-kanak haruslah menguasai 3M semasa peringkat pembelajaran mereka iaitu membaca, menulis dan mengira. Namun tidak semua kanak-kanak mampu menguasai 3M tersebut yang menjadikan mereka mempunyai masalah dalam pembelajaran dan dikenali sebagai kanak-kanak disleksia. 



DISLEKSIA

  Disleksia berasal daripada gabungan perkataan Greek dys yang bermaksud kesukaran dan lexis yang bermaksud bahasa. Secara literalnya disleksia bermaksud kesukaran dalam berbahasa (Ott dalam Sheila Devaraj dan Samsilah Roslan. 2006). Kanak-kanak disleksia hanya mengalami gangguan dalam pembelajaran ketika peringkat kanak-kanak dan bukanlah sejenis penyakit. Kebiasaannya, kanak-kanak disleksia mengalami gangguan membaca, menulis, mengeja dan mengira walaupun mereka mempunyai pemikiran yang normal.

  Kanak-kanak yang mengalami disleksia bukanlah tergolong dalam golongan yang tidak bijak malahan kajian mendapati mereka mempunyai tahap kecerdasan intelektual yang normal dan tidak mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan. Kanak-kanak disleksia sering ditemui mempunyai masalah dalam bacaan kerana disleksia merupakan kesukaran atau ketidakupayaan menguasai kemahiran membaca oleh seseorang individu walaupun telah menerima pendidikan yang mencukupi (Mercer, 1997 dan Smith, 1999 dalam Zainal Kassan dan Suhaila Abdullah,2010).


MASALAH DISLEKSIA


1. MASALAH FONOLGI

    Pengekodan fonologi merujuk kepada hubungan sistematik antara huruf dan bunyi. Secara ringkasnya, kanak-kanak disleksia lazimnya mengalami kesukaran membezakan antara paku dengan pasu. Hal ini kerana, mereka tidak dapat mendengar rima akhir yang sama antara perkataan. Umpamanya, apabila ditanya apakah perkataan yang bunyi akhirannya sama dalam "Jack and Jill went up the hill", mereka akan menjawab, "Jack" dan "Jill". Jika dari sudut ejaan  pula, kanak-kanak ini apabila disuruh mengeja perkataan diam ia akan dieja dengan diyam kerana mengeja berdasarkan bunyi yang didengar dan sukar untuk membunyikan huruf vokal serta sering meninggalkannya. Kesukaran ini bukanlah disebabkan oleh masalah pendengaran tetapi berkait rapat dengan pemprosesan maklumat di dalam otak. Bahagian otak yang mengawal sistem fonetik dan fonologi iaitu neuron tidak dapat berfungsi dengan baik. Oleh itu, keprihatinan para guru berkaitan masalah kanak-kanak disleksia sangat penting dalam usaha membantu mereka belajar .

 

2. MASALAH MENGINGAT PERKATAAN

    Secara umumnya, kanak-kanak disleksia mempunyai kecerdasan yang normal. Kebanyakan mereka mempunyai IQ yang normal dan sebahagian daripada mereka mempunyai kecerdasan luar biasa. Namun mereka tetap mempunyai masalah dalam mencari semula perkataan. Sebagai contoh, guru bertanyakan tentang apa yang telah dibaca oleh mereka dan mereka tidak dapat mengingati apa yang telah dipelajari atau dibaca pada masa lepas. Mereka hanya boleh mengingati peristiwa lepas hanyalah lebih kurang 10 minit lepas kejadian Apabila mereka ditanya suatu soalan, mereka tidak dapat menjawab secara spontan. Mereka juga sering didapati mengalami kesukaran mengingati nama rakan-rakan, malah anggota keluarga dan merujuk individu itu sebagai "kawan saya di sekolah" ataupun "budak lelaki itu". Oleh itu, kanak-kanak disleksia akan lebih cenderung menjadi kaku dan membisu apabila ditanyakan soalan.


3. MASALAH PENYUSUNAN BERSIRI

    Kebanyakan masalah kanak-kanak disleksia ialah sukar dalam mengingati maklumat secara tersusun dan bersiri seperti menghafal sifir-sifir, peringkat sesuatu perkara dan sebagainya. Sebagai contoh, kaedah darab mencabar kerana mreka memerlukan memori yang baik dalam mengingat nombor asas fakta selain untuk mengingati urutan masing-masing dalam jadual darab. Mereka juga akan terlupa kedudukan nombor, tertinggal setengah perkataan atau mengulangi semula semua bahan yang telah dipelajari. Ini bermakna penyelesaian satu masalah matematik yang mudah memerlukan jangka masa yang lama serta banyak tenaga dan usaha dan masalah yang sama berlaku dalam operasi pembahagian. Selain itu, kanak-kanak ini juga mempunyai masalah termasuklah hari dalam seminggu, bulan dalam setahun dan susunan kata atau suara. Tambahan itu, mereka sukar memberitahu masa berdasarkan jam yang menggunakan jarum. Contohnya seperti “45 minit sebelum pukul 1.15 tengahari adalah ...“ sangat mencabar keupayaan mereka.


4. MASALAH INGATAN JANGKA PENDEK

Ingatan jangka pendek adalah proses yang membolehkan maklumat diterima dan disimpan dalam tempoh yang singkat di antara 30 saat sehingga 24 jam. Sesetengah maklumat dalam sistem ingatan jangka pendek akan memasuki sistem ingatan jangka panjang dan diberi penumpuan dengan diulang-ulang. Kanak-kanak sukar untuk mengumpulkan maklumat dalam otak, seolah-olah terlalu banyak perkataan yang berpusing-pusing dalam otak yang menyebabkan mereka selalu gagal dalam menyusun maklumat. Permasalahan ini mengalami kesulitan memahami arahan yang panjang dalam satu waktu yang pendek seperti guru memberi arahan kepada pelajarnya seperti “Lipat dua kad manila itu, potong di garisan tengah dan seterusnya”. Maka anak disleksia tidak melakukan suruhan itu dengan sempurna kerana tidak mempu mengingat seluruh perkataan arahan gurunya yang menyebabkan kanak-kanak itu disangka tidak memberikan perhatian atau dikatakan degil.



5. MASALAH KESEDARAN SINTAKS

Kanak-kanak disleksia sering mengalami kekeliruan dalam memahami tatabahasa terutama jika dalam waktu yang sama mereka menggunakan dua atau lebih bahasa yang mempunyai tatabahasa yang berbeza. Kesedaran ini merujuk kepada kebolehan mereka dalam memahami sintaks suatu bahasa. Misalnya, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu mempunyai peraturan sintaks yang berbeza seperti frasa white paper dalam bahasa Inggeris tetapi disebut sebagai kertas putih dalam bahasa melayu dan frasa black cat dalam bahasa Inggeris akan menjadi kucing hitam di dalam bahasa Melayu. Masalah ini wujud pada kanak-kanak disleksia di mana mereka sukar memahami peraturan berkaitan sintaks dalam bahasa. Anak disleksia mengalami masalah dengan bahasa keduanya apabila penyusunan tatabahasanya berbeza daripada bahasa pertama

 



Sebagai kesimpulannya, disleksia bukanlah suatu konsep yang mudah untuk dijelaskan kerana disleksia boleh diterangkan sebagai keadaan seseorang yang mengalami masalah membaca, menulis dan mengira yang agak serius. Masalah ini kebiasannya berkait rapat dengan gangguan urat saraf. Kanak-kanak disleksia pada umumnya adalah kanak-kanak normal tetapi mempunyai masalah yang berpunca dari kecelaruan pada bahagian otaknya. Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia pula, disleksia adalah masalah murid yang mempunyai kecerdasan mental yang searas atau melebihi murid biasa tetapi menghadapi kesukaran yang tinggi dalam menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengeja.


RUMUSAN

Zainal Kassan & Suhaila Abdullah (2010). Pendidikan Disleksia. Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd

Ton Ibrahim (1992). Ilmu Psikolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noor Aina Dani (2017). Asas Psikolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mangantar Simanjuntak (1987). Pengantar Psikolinguistik Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Norul Haida Bt. Hj. Redzuan (2013). Ilmu Psikolinguistik. UPSI: Fakulti Bahasa dan Komunikasi.


Comments

Popular posts from this blog

PSIKOLINGUISTIK

TEORI MONITOR B2