PERINGKAT PERKEMBANGAN KANAK-KANAK B1

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca blog Shaa. Disini saya menerangkan serba sedikit tentang Peringkat Perkembangan Kanak-Kanak Bahasa Pertama di bawah tajuk Psikolinguistik. Tujuan blog ini ditulis adalah untuk memberi pengetahuan kepada para pembaca mengenai peringkat kanak-kanak dalam pemerolehan bahasa pertama semasa proses tumbesaran kanak-kanak tersebut. Saya berharap agar para pembaca dapat memanfaatkan ilmu yang diterangkan dengan baik dan berterusan. 

   Pemerolehan bahasa dikatakan bermula sejak bayi itu dilahirkan iaitu melalui konteks sosial sebelum mereka mula bercakap. Konteks sosial sangat penting untuk membantu bayi tersebut memahami dan mempelajari bahasa. Oleh itu, ibu bapa akan mendedahkan objek-objek harian yang terdapat dipersekitaran kepada anak mereka. Pendedahan yang diberikan akan membantu perkembangan komunikasi bayi tersebut. Seterusnya, bayi memerlukan pendedahan bahasa sebelum mula menggunakan bahasa. Hal ini disebabkan pada awal mula kehidupan, persepsi bunyi, penglihatan, kematangan otak dan interaksi sosial baru mula mencapai keupayaan tahap pertama.

  Steinberg (1995) memperlihatkan bahawa kanak-kanak melalui satu siri peringkat perkembangan bahasa semasa mereka menguasai bahasa pertamanya.Lennerberg, Rebelsky dan Nicholas (1995) mengatakan bahawa sebelum bayi itu mengujarkan bunyi-bunyi bahasa, dia mengeluarkan pelbagai jenis bunyi, mengagah, menangis, dan gelak sebelum mereka memasuki peringkat atau fasa yang seterusnya. Perkara ini terjadi kepada semua bayi termasuk yang pekak atau tidak normal sejak lahir.


PERINGKAT PEMEROLEHAN BAHASA PERTAMA

Peringkat Kanak-kanak

Pemerolehan bahasa

Dari lahir sehingga 6 bulan

Vokalis (Bebelan)

10 bulan hingga 18 bulan

Holofrasa ( Pertuturan Satu Kata)

18 bulan hingga 4 tahun

Telegrafik (Telegraf)

5 tahun hingga 12 tahun

Ayat-Ayat Kompleks


Peringkat Vokalis (Bebelan)



 




 Pada peringkat ini kanak-kanak belum pandai bercakap tetapi mereka akan mula membebel dengan membunyikan semua bunyi dan bermain dengan alat artikulasi iaitu alat pertuturan. Bunyi-bunyi bayi ini seperti menangis dihasilkan oleh semua bayi di dunia termasuk bayi yang pekak. Tetapi, bayi yang pekak tidak meneruskan perkembangan bahasanya ke peringkat bebelan, iaitu tahap vokalisasi yang selanjutnya. Vokalisasi akan menjadi bunyi-bunyi tuturan dan bayi daripada masyarakat-masyarakat bahasa yang berlainan akan mula membebel secara tersendiri dan diikuti dengan intonasi daripada bahasa masing-masing. Pada tahap tuturan, bunyi-bunyi konsonan diperoleh mengikut urutan kedepan ke belakang (‘depan’ dan ‘belakang’ iaitu tempat asal berlakunya artikulasi sesuatu bunyi). Bagi bunyi-bunyi vokal pula, urutan pemerolehannya ialah dari belakang ke depan. Bebelan adalah vokalisasi yang tidak bertujuan kerana bunyi-bunyi yang diujarkan dibuat tanpa kawalan kognitif pusat manakala vokalisasi adalah tuturan yang bergantung kepada vokalisasi untuk bebelan kerana kanak-kanak akan berjumpa dengan berbagai mekanisme artikulasi yang diperlukan untuk mengujarkan tuturan . Mereka mewujudkan bunyi-bunyi bukan bahasa sebagai latihan dan kawalan alat artikulasi dan pernafasan.

 Contoh bunyi bukan bahasa yang dibunyikan ialah ee…..eee…., uu…..uuu….., aa.…aaa….., oo…..ooo…..


Peringkat Holofrasa (Pertuturan Satu Kata)

 





   Tahap penamaan dan holofrasa ialah ujaran satu kata yang merupakan pengujaran sesuatu bunyi bahasa yang mungkin tepat dengan keadaannya dan mungkin juga tidak. Kanak-kanak menyampaikan berbagai fungsi semantik dengan menggunakan perkataan tunggal yang dikatakan oleh Greenfield dan Smith (1976). Peringkat ini dikatakan pengenalan pada kata pertama. Kanak-kanak juga akan menggunakan satu perkataan untuk menyampaikan sesuatu fikiran manakala bagi penutur dewasa memerlukan keseluruhan ayat. Pertuturan ini bermula dengan suku kata yang mudah atau berulang dan diteruskan dengan suku kata tunggal yang berlainan pola untuk mencantumkan beberapa suku kata. Kanak-kanak meletakkan pelbagai penggunaan pada kata tunggal. Mereka juga mempunyai satu bentuk fonologi yang teratur kerana pandai mengeluarkan bunyi-bunyi vokal dan juga gabungan vokal konosonan yang senang dan mudah. Akhirnya, kanak-kanak akan sering berlatih dan membuat pengulangan menggunakan perkataan yang baru diketahuinya.

 Contoh pertuturan satu kata ialah ma-ma, ba-ba, pa-pa, ta-ta, da-da.


Peringkat Telegrafik (Telegraf)

 

 

 




   Kanak-kanak yang berada di tahap telegrafik merupakan ujaran dua tiga kata. Pada usia dua atau tiga tahun ini barulah kanak-kanak mula mengajurkan dua tiga perkataan. Ciri yang menarik tentang ujaran kanak-kanak pada peringkat ini antaranya berbagai tujuan serta pertalian semantik yang agak kompleks dan kurangnya penggunaan kata-kata tugas seperti kata sandang, kata depan serta kata penghubung. Pada tahap morfem dan transformasi, kanak-kanak mula menghasilkan ujaran yang lebih panjang maka kata tugas , infleksi pada kata nama dan kata kerja dan struktur sintaksis kompleks pun wujud. Kanak-kanak mempunyai fikiran serta konsep yang lebih maju daripada tahap pemahaman pertuturan yang diperolehnya sebelum ini. Hal ini kerana, mereka telah mengalami perkembangan bahasa yang semakin baik seperti pandai membuat pelbagai bentuk pertanyaan, pandai bermonolog, meminta, memberitahu, menolak, memberi amaran dan sebagainya dan membuat perhubungan antara satu perkataan dengan perkataan lain. Ungkapan pada kata-kata ini hanya melibatkan morfem bebas tanpa mewujudkan morfem terikat.

 Contoh pertuturan telegrafik (telegraf) ialah nak makan, ibu mana, adik nak ikut, nak susu.


Perkembangan Ayat-Ayat Kompleks

 

 

 





   Pada peringkat akhir, pertuturan kanak-kanak menjadi lebih panjang dan mereka sudah boleh menghasilkan kebanyakan daripada struktur yang terpenting dalam bahasanya. Mereka juga menguasai elemen sintaksis bahasa ibunda dan memiliki perlakuan bahasa yang memadai. Kanak-kanak juga telah tahu pelbagai perkataan dan telah mengalami perkembangan bahasa yang paling pesat kerana mereka tahu dan boleh menggunakan klasifikasi semantik dengan baik serta mahir dalam menggunakan bentuk-bentuk yang terdapat dalam bahasa daripada ayat mudah kepada ayat yang lebih kompleks. Secara tidak langsung, peringkat inilah kanak-kanak akan mula bertutur menggunakan perkataan dengan baik tentang penggunaan kata nafian, soalan, klausa relatif, dan struktur ayat yang lebih kompleks dan berguna dalam bahasanya. Ketika berumur 5 tahun, kanak-kanak telah dapat menghasilkan struktur ayat yang berguna dalam bahasanya. Mereka juga memperoleh semua struktur bahasa pertamanya pada umur 9 atau 10 tahun. Selepas umur 12 tahun, kanak-kanak mencapai olahan formal atau memperoleh struktur bahasa orang dewasa.

 Contoh perkembangan ayat-ayat kompleks ialah saya dan adik bermain bola bersama kawan-kawan.


Sebagai rumusan, pemerolehan bahasa kanak-kanak berlaku secara semula jadi dan bimbingan formal yang selari dengan perkembangan mental, fizikal dan peningkatan usianya. Selain itu, pendedahan bahasa yang cukup akan merangsang keyakinan dan memotivasikan kanak-kanak tersebut untuk berinteraksi dengan orang-orang di persekitarannya terutamanya ibu bapa dan keluarga terdekat bagi memastikan kanak-kanak dapat melalui peringkat pemerolehan bahasa pertamanya dengan baik dan sempurna. Oleh itu, pemerolehan bahasa kanak-kanak adalah mengikut umur bagi peringkat tertentu seperti bebelan, holofrasa, telegrafik dan diikuti dengan perkembangan ayat-ayat yang lebih kompleks. Secara tidak langsung, perkembangan tahap pertuturan kanak-kanak dapat dilihat melalui bahasa serta komunikasi dengan individu di sekelilingnya.


RUMUSAN

 Norul Huda Bt. Hj. Reduzan (2013), Ilmu Psikolinguistik, UPSI: Fakulti Bahasa dan Komuniskasi.

 Noor Aina Dani (2017), Asas Psikolinguistik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.  

 Abdul Chaer (2003). Psikolinguistik Kajian Teoritik. Jakarta: PT Asdi Mahasatya.

 Mahmood (2008) Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga . Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.  

Abdullah Hassan (1989) Pembelajaran dan Penagajaran Bahasa Malaysia Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Comments

Popular posts from this blog

PSIKOLINGUISTIK

TEORI MONITOR B2

DISLEKSIA